Tuesday, 2 July 2013

Cinta dan Pengorbanan…


Aku anak kedua daripada lima adik-beradik. Aku sekarang berada di tingkatan 5 dan berumur 17 tahun. Along ialah kakak aku yang sulung, selepas sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia melanjutkan pelajarannya di Politeknik Syed Sirajuddin, Arau, Perlis. Sebelum ini, dia jarang duduk bersama kami sekeluarga, kerana sejak dari Tingkatan 4 lagi, dia sudah masuk ke sekolah teknik dan duduk di asrama. Dia hanya akan berada di rumah apabila cuti sekolah dan kadang-kala pada hujung minggu. Adik perempuan yang dibawahku pula berumur 13 tahun, manakala adik yang nombor empat ialah lelaki, berumur 12 tahun dan adik paling bongsu juga lelaki, berumur 6 tahun.

Mama mendapat kontrak untuk menghantar kuih-muih yang di tempah ke hotel. Setiap hari, abah dan kadang-kala mama sendiri akan berulang-alik dari rumah ke hotel untuk menghantar tempahan yang di buat. Kehidupan keluarga kami sama seperti keluarga yang lain di luar sana. Kadang-kadang ada juga pasang surutnya. Nak kata tidak berduit tipu lah, duit yang ada cukup-cukup sahaja untuk menampung kehidupan kami sekeluarga. Namun, setiap hari ada saja perkara yang membuatkan mama dan abah bergaduh. Aku penat asyik dengar diorang bergaduh semuanya pasal duit. Aku rasa nak lari dari rumah, keluar dari rumah dan cari duit banyak-banyak bagi dekat diorang. Tapi aku tidak mampu untuk melakukan semua itu. Setiap hari aku berfikir apa yang harus aku lakukan untuk bantu mereka.

“Argh!!!!! Aku penat la dengan semua ni kenapa aku harus laluinya????” soalan ini selalu bermain difikiranku.

Namun, aku buntu dan tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini. Untuk berkongsi dengan Along itu adalah satu perkara yang mustahil. Dia terlalu sibuk dengan kehidupannya sendiri nak telefon dan bercakap dengan kami sekeluarga pun jarang. Bila duit dah habis barulah nak ingat nak telefon kami. Salah satunya cara yang aku lakukan untuk lupakan semua masalah itu adalah dengan menangis. Aku akan menangis dan menangis sehingga aku rasa lega dan kadang-kala aku akan terlena berendam air mata. Aku tidak tahu pada siapa boleh aku mengadu dan berkongsi masalah ini. Untuk berkongsi dengan sahabat-sahabatku, aku tidak mampu kerana aku tidak mahu menyusahkan mereka dan apa yang boleh aku lakukan ialah mengadu dan berkongsi semua itu kepada Allah S.W.T di dalam setiap doaku, aku memohon supaya DIA memurahkan rezeki keluargaku dan keluarkan kami dari segala masalah yang membelenggu hidup kami.

******************************************

Aku jatuh cinta dalam usia yang terlalu muda, ketika aku di Tingkatan 5. Mula-mula kami sekadar berkawan sahaja, kerana kami belajar di pusat tuisyen yang sama. Setiap minggu kami akan berjumpa dalam 3 kali. Tapi secara tidak sedar rupanya si dia menyukai aku. Aku tidak mempunyai minat kepadanya pada waktu itu, bagi aku pelajaran lebih penting dari segala-galanya untuk menjamin masa depan aku. Tapi, sebenarnya aku takut untuk bercinta, aku langsung tidak memikirkan tentang cinta buat masa itu.
Pada suatu hari, cikgu tuisyen kami meminta nombor telefon kami semua, supaya senang untuk dia menghubungi kami nanti, jika dia mahu mengada kelas tuisyen. Tanpa aku sedari rupa-rupanya mamat yang minat dekat aku telah mengambil nombor telefon aku di dalam senarai itu, tanpa aku sedari.

Sedar tak sedar, peperiksaan SPM semakin hampir aku bersama-sama dua orang sahabat karib aku study bersama-sama di rumahku. Sedang kami bertiga-tiga rancak berbincang tentang matapelajaran sejarah, tiba-tiba mesej masuk dan bunyinya dari hand phone kesayanganku, hand phone mama yang mama berikan kepadaku sebagai hadiah hari jadi.

“Assalamualaikum, hai boleh berkenalan?”

Dengan muka yang berkerut aku membalas mesej itu. “Waalaikumusalam, siapa ni?”

“Ala… tak kan tak kenai kot?”

“Yela.. mana nak kenai tak bagi tau nama pun.
.”
“Ala… org yang selalu datang lambat kat tuisyen..” Terlintas difikiranku siapa lagi yang selalu datang lambat dekat tuisyen kalau bukan Muhammad Syameer anak cikgu tuisyen yang mengajar Bahasa Melayu, untuk murid-murid sekolah rendah.

“Oooo.. Syameer erk??”

“Pandai pun..” balas si dia.

“Terima kasih.. memang saya pandai pun… hihihi.. :-P,” balasku.

Dari situ kami mula jadi rapat. Hampir setiap hari kami bermesej, dan kadang-kadang sanggup tunggu hingga ke tengah malam gara-gara untuk membuat supersaver bagi menjimatkan kredit dan bergayut dalam masa yang lama. Tapi, kalau dekat tuisyen masing-masing tidak akan bercakap, cuma diam sahaja sepanjang kami berada di pusat tuisyen. 'Hang tengok aku, aku tengok hang', macam langsung tidak kenal antara satu sama lain. Pada hal, hari-hari kami mesej dan bergayut.

Tidak lama lagi bulan Ramadhan bakal tiba setelah setahun pergi meninggalkan kita semua, pusat tuisyen akan tutup buat sementara waktu untuk menberi laluan kepada bulan Ramadhan dan akan dibuka semula selepas lebaran. Aku dan si dia tidak akan berjumpa buat sementara waktu kerana rumah kami berdua jaraknya agak jauh.

******************************************

Pada bulan puasa, mama tidak akan menghantar kuih-muih ke hotel kerana mereka boleh membelinya sendiri di Bazaar Ramadhan yang beroperasi berhampiran dengan hotel terbabit. Pihak hotel memberi cuti kepada mama semperna bulan Ramadhan.

Namun, kami sekeluarga tidak juga berehat di bulan Ramadhan ini. Mama tidak menghantar kuih ke hotel, tapi, mama akan mengambil tapak di Bazaar Ramadhan berdekatan dengan rumah kami. Kami akan jual kuih-muih tradisional seperti tepung talam, pulut sekaya (seri muka), talam jagung, talam keladi, karipap, donut, cara manis dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja bulan Ramadhan berakhir dan setelah beraya selama 2 atau 3 hari kami akan menduduki peperiksaan SPM. Aku tetap ringankan tulang bagi membantu mama dan abah.
Kerana, lepas waktu sahur dan setelah menunaikan solat subuh, mama akan mula masuk ke dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa untuk di jual di Bazaar Ramadhan. Di sebelah petangnya, abah dan aku akan menjual semua juadah berbuka puasa yang mama sediakan di tapak bazaar. Mama akan datang dan menolong kami setalah dia menyelesaikan semua pekerjaannya di rumah. Kami akan berbuka puasa bersama-sama di bazaar Ramadhan, kerana berbuka puasa di bazaar Ramadhan amat menyeronok dan kemudian kami akan berkemas untuk pulang ke rumah.

******************************************

Apabila tidak ada pelanggan aku akan mengulang kaji apa yang patut, sementara menunggu pelanggan datang ke gerai kami untuk membeli juadah berbuka puasa.
Pada satu petang, masa aku sedang sibuk dengan pelangan yang ramai di gerai kami. Tiba-tiba hand phone ku berbunyi tanda ada mesej masuk. Aku buka mesej itu, setelah selesai melayan pelanggan yang ada di gerai kami.

“Nak tepung talam RM2 dan pulut sekaya RM2.. ;-P” mesej tersebut dari si dia.

Kemudian aku tercari-cari mungkin dia ada di mana-mana. Tapi yang aku dapat lihat hanyalah susuk tubuh dia yang kurus kering dan tinggi lampai itu dari belakang.

Aku pun membalas mesej tersebut “Betul ke nak ni?”

Dia tidak membalas mesej aku. Tiba-tiba aku ternampak seperti seseorang yang amat aku kenali sedang bersembang dengan abahku. Setelah mengamati betul-betul orang tersebut, rupanya ayah Syameer. Dia datang ke gerai kami untuk membeli kuih seperti mana yang Syameer mesej kepada aku sebentar tadi.
Setelah ayah Syameer berlalu pergi aku bertanya kepada abah.

“Abah kenai ka pak cik tadi tu?”

Abah membalas, “Kenai lah kawan abah awat tak kenai pulak. Awat pasai pa hang tanya?”

Dak aih.. tanya ja tak kan tak boleh kot.. Lagi pun cikgu tu salah sorang cikgu yang mengajaq kat pusat tuisyen kak ngah. Tu heran pasai pa tiba-tiba dia boleh sembang dengan abah, rupanya kawan abah…” balasku kepada abah sambil menyembunyikan perasan takut.

******************************************

Esok, bermulalah peperiksaan SPM, aku berasa takut dan gementar. Namun, aku telah pun bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi peperiksaan ini.

“Malam ni kena tidoq awai la… Esok tak pasai-pasai pulak aku bangkit lambat susah jugak ni..” aku berleter aka membebel sorang-sorang, sambil mengemas apa yang patut untuk di bawa masuk ke dalam dewan paperiksaan esok.

Selang beberapa hari selepas itu, matapelajaran sejarah pula akan mengambil tempat, seperti biasa aku dan dua orang sahabat baikku Jamilah dan Syuhada akan mengulang kaji matapelajaran tersebut bersama-sama. Tanpa disangka setelah sekian lama tidak ada mesej dari Syameer, tiba-tiba malam mesej masuk ke telefon bimbitku.

 “Awak saya sukakan awak… Awak ada perasan yang sama tak kepada saya? Sudikah awak jadi kekasih hati saya??” dia menghantar mesej mengatakan bahawa dia sukakan aku dan dia menanyakan perasan aku kepadanya.

Aku agak terkejut dan menceritakannya kedapa dua orang sahabat baikku. Mereka menyuruh aku menerima cinta Syameer, tapi aku masih ragu untuk menerimanya kerana aku tidak pernah bercinta dan jika aku menerimanya ini adalah pertama kali aku bercinta. Aku membiarkan sahaja mesej tersebut tanpa membalasnya.

******************************************

Minggu ini adalah minggu terakhir peperiksaan SPM, paper yang terakhir adalah paper add math. Malam sebelum paper tersebut itu, Syameer telah menghantar mesej mengajak aku berjumpa dengannya setelah habis paper add math tersebut.

“Awak esok kita jumpa lepas habis paper add math. Saya tunggu awak dekat luar pagar sekolah awak, ok?”

Dia kata dia akan menunggu aku dekat luar pagar sekolah. Aku tidak balas mesej tersebut dan aku terus mengulang kaji dan menghafal formula tanpa memikirkan mesej tersebut, sebab bagi aku peperiksaan ini lebih penting. Hanya dengan pelajaran aku boleh membantu keluarga aku.

Keesokkannya, selepas tamat peperiksaan SPM kami semua merdeka!!!!!!!!! Aku hampir terlupa akan janji dengan Syameer. Aku terus memberitahu Jamilah dan Syuhada tentang pertemuan itu. Mereka menyarankan aku supaya berjumpa dengan Syameer.

Wei.. kami tak tau la nak cakap apa dengan dia nanti. Hampa dua teman la kami.. please!!!” aku merayu kepada kedua orang sahabat baikku.

“Ish.. hang ni Lina cuba la berani cikit.” Kata Jamilah kedapaku
.
Hampa dua kan tau abah kami macam mana. Sat gi dia tau, mampuih la kami kena kejaq dengan dia. Hampa nak tau dak abah kami pernah cakap kalau dia nampak kami keluar dengan laki sakit dapat malu pun dapat. Takut la kami.” Aku membalas kata-kata Jamilah.

“Ish.. budak ni pikiq bukan-bukan pulak. Dah-dah pi ja jumpa si Syameer tu, dia dah lama tunggu tu, kami dua tengok dari jauh ja. Ok?? Klau tak ok pun ada kami dua kesah!! Kan Jamilah kan??” Kata Syuhada sambil menghidupkan enjin motosikalnya.

Di luar pintu pagar sekolah, aku lihat Syameer sedang menantiku di atas skuter hitamnya. Dia mengajak aku minum di kedai bawah pusat tuisyen kami.

“Maknanya dekat depan taman perumahan aku lah. Matilah aku kalau abah nampak.” Aku bermonolog sendiri.

 Aku mula takut, namun aku tetap gagahkan diri untuk mengikut rancangan tersebut. Dia menunggang skuternya dan aku berjalan kaki ke kedai tersebut.

“Nasib baiklah kedai ni dekat, kalau tidak aku terus balik je. Dah lah dua orang minah ni tinggalkan aku sorang-sorang, terpaksa la aku menapak ikut mamat kering ni.” Kata aku di dalam hati sambil tersenyum-senyum kambing.

Rumah aku dan sekolah tidaklah jauh mana, cuma kena lintas jalan raya pastu jalan 10 minit sampailah sekolah.

Kami duduk minum dan bersembang-sembang. Dia tanya aku macam mana jawapan untuk soalan dia yang sebelum ini. Aku buat-buat tak faham.

Aku tanya dia, “Soalan apa?” Dia buat muka tak puas hati. 

“Ala.. awak ni saja je kan. Buat-buat tak faham.” Aku menjungkit bahuku.

“Awak ni!!! Saya kan pernah tanya apa perasan awak dekat saya? Saya nak tau jawapannya, boleh??”

“Mmmm… perlukah saya bagi tau jawapan tu sekarang? Saya tak tau la macam mana, boleh bagi saya masa?”

“Tak pe la… saya bagi awak masa untuk pikirkan semua ni saya akan tunggu awak sampai awak ada jawapannya.”

“Ok, terima kasih. Awak dah lewat ni takut abah cari pulak. Jom balik.”

“Ok, jom balik. Terima kasih sebab sudi berjumpa dengan saya.”

“Sama-sama.” balasku.

******************************************

Selepas habis SPM aku bekerja di koperasi sekolah sementara menunggu result SPM keluar. Aku bekerja untuk mencari wang untuk menyambung pelajaranku, dan sambil itu boleh jugak membantu mama apa yang patut mungkin tidak banyak, tapi sekurang-kurangnya aku boleh membantu mama untuk meringankan bebannya.

Kerja di koperasi sekolah tidaklah begitu sibuk, cuma pada waktu rehat budak-budak akan datang untuk membeli buku latihan, air atau biskut yang ada dijual di koperasi dan setelah tamat waktu rehat aku akan menutup akaun. Kemudian mengira jumlah jualan dan modal, seterusnya menyusun apa yang kurang di rak yang disediakan untuk meletak segala peralatan dan makanan.

Jamilah dan Syuhada masing-masing tidak bekerja mereka cuma duduk di rumah. Syuhada mengambil lesen kereta manakala, Jamilah terus menghabiskan lesen P motornya. Syameer, dia bekerja di salah sebuah pasaraya terkemuka di Alor Setar. Kami jarang berjumpa sebab aku susah nak keluar. Kami just mesej-mesej dan kadang-kadang bergayut di telefon.

Setelah beberapa bulan menanti, keputusan SPM bakal diumumkan tidak lama lagi. Aku pergi ke sekolah dengan membonceng motosikal Jamilah, manakala Syuhada pergi berasingan dengan menaiki motosikalnya. Di sekolah, masing-masing berdebar-debar. Syuhada, Jamilah, Mira, aku dan yang lain-lain rasa takut dengan result yang bakal diumumkan. Setelah selesai pengetua bercakap dan memberi ucapan tahniah kepada kami. Kami terpaksa beratur mengikut kelas dan mengambil result di tangan guru tingkatan masing-masing, kami diasingkan mengikut kelas supaya tidak sesak. Alhamdulillah result aku tidaklah seteruk yang aku sangkakan. Aku mendapat 1 1A, 2 2A, 2 3B, 1 4B, 2 5C dan 2 6C. Semua aku kutip tapi A sampai C je la. Sebab aku jarang mengulang kaji pelajaran kerana masa yang tidak mengizinkan dan sibuk menolong mama dan abah. Aku tak menyalahkan mereka, malah aku bersyukur walaupun aku jarang mengulang kaji result aku boleh dikatakan membanggakan berbanding result Along, kakak sulungku.

Aku dapat melanjutkan pelajaranku ke Kolej Matrikulasi Perlis (KMP) dalam jurusan akaun, dalam tempoh satu tahun aku harus menghabiskannya kalau tidak terpaksalah aku extend. Jamilah dan Mira pun dapat menyambung pelajaran mereka di situ. Kami begitu seronok cuma Syuhada saja yang tidak bersama kami, kerana dia tidak mengisi borang matrikulasi seperti kami bertiga.

Katannya, dia takut bila masuk matrikulasi kita kena usaha lebih dia takut dia tidak mampu. Dia dapat tawaran menyambungkan pelajaran di UTM Jalan Semarak, dalam jurusan Town Planning. Jauhlah sikit dari kami bertiga. Manakala, Syameer dapat tawaran belajar di German Malaysia Institute (GMI) dekat Bangi dalam bidang elektronik.

******************************************

Masa mula-mula aku masuk matrikulasi agak susah jugak nak sesuaikan diri dengan suasana di situ. Sebab semua kena buat sendiri selama umur aku 18 tahun ini, inilah pertama kali aku berjauhan dengan family. Padahal, Alor Setar dengan Arau bukan jauh sangat cuma 45 minit. Tapi disebabkan tidak pernah berpisah dan berjauhan dengan family, 45 minit pun rasa jauh sangat. Hari-hari aku akan menelefon mama dan menceritakan itu dan ini pada mama. Kalau kredit telefon habis public phone bawah blok lah jadi mangsa aku bergayut dengan mama.

Aku hampir lupa akan Syameer kerana terlalu sibuk dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sini. Kerana kami hanya ada masa tidak sampai setahun untuk menghabiskan pelajaran di sini. Di sini, aku mula berdikari mencuci baju sendiri, cari makan sendiri dan segala-galanya terpaksa dilakukan sendiri tanpa bantuan mama dan abah. Selain itu, aku juga mendapat ramai kawan baru.

Kehidupan di sini sangat berbeza dengan zaman aku di sekolah dahulu. Di sini aku harus mengulang kaji dan mencari bahan rujukan sendiri untuk di baca. Berbeza dengan di sekolah, kerana di sekolah cikgu-cikgu akan memberi kami bahan rujukan dan kami cuma perlu membacanya sahaja.

******************************************

Setelah hampir setengah semester di sini, aku dan Aisyah pergi ke siber kafe untuk menghabiskan masa hujung minggu kami berdua. Aisyah adalah rakan sebilikku di matrikulasi. Benda yang pertama aku buka ialah membuka Friendster laman sosial yang seakan-akan facebook pada waktu kini.

Mula-mula aku hanya melihat komen-komen yang diberikan oleh kawan-kawanku di page Friendsterku, kemudian tergerak pulak hati aku untuk membuka page Syameer. Aku hendak membukanya kerana telah lama aku tidak melihat wajah dia, teringin juga melihat wajah terbaru Syameer. Aku membuka satu gambar ke satu gambar. Tiba-tiba ada gambar yang nampak agak pelik dan lain macam sikit, ada dua pasang kaki sedang bersilang antara satu sama lain. Sepasang kasut perempuan dan sepasang kasut lelaki. Aku mula rasa pelik, tapi aku teruskan juga untuk melihat gambar-gambar yang seterusnya. Kemudian, aku ternampak gambar dia dengan seorang gadis berkulit hitam manis aku ingatkan itu kawan sekelas dia. Tanpa fikirkan apa-apa aku melihat lagi gambar-gambar lain, alih-alih gambar dia dengan perempuan itu lagi, mana ada Syameer, di situ mesti ada perempuan itu. Aku mula rasa sedih walaupun aku tidak pernah nak berterus terang tentang perasan aku, tapi aku tahu aku dah mula menyayangi dia.

Dalam perjalanan pulang aku ceritakan semuanya pada Aisyah. Aku terlalu sedih, sambil bercerita aku menangis teresak-esak. Nasib baiklah blok kami blok pertama dan dekat juga dengan pintu masuk, tidak semua orang akan melihat wajah aku yang sedang menangis teresak-esak ini.

Hand phone ku yang lama tiba-tiba bunyi lagu Kenangan Terindah nyanyian Samsons berbunyi. Aku setkan lagu itu untuk Syameer. Aku jadi tidak keruan sama ada mahu menjawab atau membiarkannya sahaja telefon itu berbunyi. Lalu aku membuat keputusan untuk membiarkan sahaja telefon itu berbunyi.
Aku menangis, lalu tertidur kerana keletihan dan penat menangis. Apabila sedar dari tidur Aisyah menjawab telefonku yang telah banyak kali berdering itu. Aku membiarkan sahaja, dia bercakap dengan Syameer dan Aisyah menyuruh Syameer supaya tidak menganggu dan mengacau aku lagi dan pergi jauh dari hidup aku, dia memberi amaran kepada Syameer jangan sesekali menganggu aku lagi. Teruk jugalah aku waktu itu aku tidak mampu untuk menahan rasa sakit kerana dikhianati, kata akan menunggu aku tapi keluar dan bermesra dengan perempuan lain dalam masa yang sama.

Kenapa tidak berterus terang? Kenapa aku perlu tahu semua itu sendiri? Aku benci pada lelaki yang macam ni. Kenapa perlu berbohong dan membiarkan aku begini, tidaklah aku menaruh harapan yang tinggi dalam perhubungan ini. Aku benci!!!!!!!! Aku benci insan yang bernama lelaki. Aku menyalahkan diri aku sendiri kerana terlalu bodoh dan mudah untuk jatuh cinta. Itulah aku, bila terlalu sayangkan seseorang aku susah untuk lepaskan dia, lagi pun dia adalah cinta pertamaku.

Cukuplah aku tidak mahu pisang berbuah dua kali. Walau bagaimanapun dia cuba memujukku aku untuk menerimanya kembali. Tetapi aku tetap berkeras untuk mengatakan tidak, walaupun hati masih terlalu sayangkan dia. Aku perlu berkorban melepaskan dia pergi demi kebahagian dia sendiri, walau hakikatnya hati aku menangis dengan keadaan ini. Aku teruskan hidup dengan kawan-kawan dan family yang selalu bersama dengan aku.

******************************************

Setelah tamat matrikulasi, aku dapat menyambung pelajaranku di UiTM Seri Iskandar, Perak dalam Ijazah Pengurusan Perniagaan (Kepujian) Ekonomi Perniagaan. Aku masih tidak dapat melupakan Syameer kerana dia adalah cinta pertamaku. Tapi aku perlu teruskan hidup kerana dia telah pun bahagia dengan perempuan tersebut. Dalam diam-diam aku masih melihat page friendster dia untuk mengetahui berkembangan terbaru dia. Aku tidak tahu kepada siapa aku perlu meluahkan rasa hati, lalu aku coretkan rasa hati di sekeping kertas.

Malam ini hatiku terasa sepi…
Aku duduk sendirian memikirkan apa yang telah berlaku…
Hatiku sedih aku tidak tahu mengapa ianya terjadi kepadaku..
Benarkah aku yang bodoh????
Aku tidak tahu, soalan itu berlegar-legardi dalam otakku…
Mengapa ini semua harus aku lalui!!!!!
Aku sendiri..
Tiada teman yang mampu berkongsi perasan ini…
Aku perlukan teman yang mampu membuatku tersenyum dan sama-sama berkongsi kisah hati ini..
Aku cuma memerlukan teman yang dapat menerima aku seaadanya…
Aku tidak perlukan teman yang berharta, kerana aku tidak memandang hartanya…
Aku hanya perlukan teman yang dapat aku berkongsi kasih dan cerita..
Cukuplah jika dia mampu menenangkan aku dan mampu memberi sedikit nasihat apabila aku memerlukannya..

Kadang-kala kita perlu mengorbankan sesuatu untuk melihat orang lain gembira. Walaupun, kita terpaksa mengorbankan hati kita sendiri untuk membuatkan orang lain bahagia. Aku tahu aku boleh sahaja bersama dengannya kembali, tapi aku perlu mengundurkan diri kerana itu mungkin yang terbaik. Aku sedar cinta tidak boleh membawa aku ke mana-mana. Jadi, aku terpaksa mengorbankan cinta, demi masa depan aku dan keluarga mungkin ini suratan dan takdir buat aku. Aku hanya layak mencintai dan tidak layak untuk dicintai.


p/s: harap komen selepas membaca

Sekian, terima kasih.


1 comment:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete